Wednesday 26 February 2014

Sekeping Roti Canai dan Setitis Air Mata ( A piece of Roti Canai and a tear drop )


  Tiada resipi hari ni, cuma nak menzahirkan dan berkongsi sekilas pemandangan dan pengalaman yang saya lalui tatkala mengorak langkah dalam  meneruskan hidup sebagai hamba ‘ALLAH’ di buminya yang dipinjamkan untuk sementara ini.
            
  Tanggal 11 Feb 2014, saya ke Pasar Awam Larkin dalam usaha mencari bekalan untuk memenuhkan peti sejuk saya yang sudah hampir kehabisan bahan bahan untuk di masak. Di dalam dompet, saya membawa sejumlah wang sekitar RM 700. Selesai membeli beberapa kg daging, beberapa ekor ayam, seafood dan juga sayur sayuran dan rempah ratus, saya bergegas memacu kenderaan untuk segera sampai ke rumah kerana pada sebelah petangnya saya harus memasak untuk sidang meja bulat antara saya dan rakan-rakan akrab saya. Perbelanjaan di pasar tidak pun sampai RM 300.

  Dalam perjalanan pulang, mata saya tertumpu pada sederetan rumah kedai yang pada beberapa bulan lepas, saya dan teman serumah habiskan masa sekurang kurangnya dua kali seminggu untuk menikmati makan malam di Restoran Al-Falah.  Rakan saya gemarkan ayam Tandoori dan juga roti naan di sini.  Saya mengambil keputusan untuk membelok dan singgah menikmati sarapan pagi memandangkan perut saya masih belum di isi.

  Saya memesan sekeping Roti Bawang Telur Double dan juga segelas Teh ‘O’ Panas.  Sementara menunggu pesanan di bawa, jejari saya sibuk menekan kekunci handphone sambil berbalas-balas pesanan ringkas di dua kumpulan pada aplikasi ‘wechat dan whatsapp’.  Satunya kumpulan ‘teman akrab’ dan satu lagi adalah kumpulan ‘adik beradik’ saya.  Saya senyum sendirian apabila kami sibuk mengusik antara satu sama lain di kedua dua kumpulan.

  Selang beberapa meja, ada tiga orang pemuda India sedang menikmati sarapan sambil berbual dalam bahasa Tamil dengan nada yang kuat. Pada awalnya saya membiarkan sahaja – tapi lama kelamaan, mereka berbual semakin kuat di selangi ketawa berdekah dekah yang agak menjengkelkan.  Saya cuba untuk tidak ambil pusing akan hal ini, tetapi ianya berlarutan sehingga mengganggu tumpuan saya.

  Di dalam hati, saya mula menyumpah mereka bertiga, termasuklah ayat ayat yang berbaur perkauman. Rasa marah dan benci mula menular ke segenap tubuh badan saya.  Ingin sahaja saya bangun dan bergegas ke meja mereka menyarankan agar mereka ke pasar yang tidak jauh dari situ dan bercakap serta gelaklah sepuas hati mereka di sana.
  
  Selang beberapa minit, kelihatan seorang budak berpakaian seragam sekolah, dengan beg selempang dan tabung di tangan, menghampiri dari meja ke meja menghulurkan sekeping dokumen dan juga tabung meminta ihsan dan bantuan daripada pengunjung pengunjung di restoran tersebut. Kebanyakkan dari pelanggan menghulurkan not RM1 dan dimasukkan ke dalam tabung.  Tiba di meja saya, bermacam macam soalan yang saya ajukan kepada budak yang dari pengamatan saya mungkin berusia dalam lingkungan 15 atau 16 tahun.  Tangan saya segera mengeluarkan not RM5 dan memasukkan ke dalam tabung tersebut.  Sebelum pelajar terbabit beredar, saya ada mempelawanya untuk bersarapan sekiranya dia mahu tetapi katanya ‘Alhamdulillah Abang, saya sudah bersarapan awal pagi tadi dan masih kenyang’.  Dia meminta diri setelah menerima anggukan daripada saya.  Di hati saya masih ada rasa was was, samada derma yang diminta adakah sahih ataupun sekadar sindiket yang banyak berleluasa di Malaysia ini.  Tapi rasa sangsi itu segera saya padamkan memandangkan saya telah lepaskan tanggungjawab dan amanah saya kepada budak terbabit.

  Ketika pelajar terbabit melintasi kumpulan pemuda India yang saya ceritakan tadi, dia tidak berhenti.  Tetapi salah seorang pemuda itu memanggilnya.  Setelah pelajar tersebut menghampiri mereka, mereka bertanya ‘Adik minta derma untuk apa?’ Setelah di terangkan, ketiga-tiga pemuda terbabit mengeluarkan not RM 10 seorang dan memasukkanya ke dalam tabung tersebut.  Salah seorang daripada mereka berpesan ‘Tabung tu adik pegang kuat kuat, peluk di badan jangan pegang macam tu saja… takut nanti ada orang ‘snatch’ (ragut).  Setelah pelajar itu berlalu… mereka menyambung perbualan mereka semula dengan nada dan ketawa yang sama.

  Tapi …. kali ini, ia tidak lagi menjengkelkan hati saya, malahan di birai mata saya, air mula bertakung.  Saya tersedar, beretika baik di meja makan tidak menjadikan saya lebih bagus dari mereka.  Menyerahkan not RM5 dan menganalisa rata-rata orang lain yang menyerahkan RM1 juga tidak bererti saya lebih mulia dari mereka, sedangkan poket saya masih tebal. Mereka mengeluarkan not RM10 seorang tanpa banyak bicara sedangkan saya hanya mengeluarkan not RM5 namun masih terdetik rasa sangsi di hati. Di mana sifat ikhlas saya? Di mana letak tulus saya dalam mencari kebaikan yang ‘ALLAH’ redhai?  Saat itu saya merasakan terlalu kerdil raga ini kerana jiwa saya belum betul betul bersih, belum betul betul merdeka.  Setelah menyeka air mata, saya menoleh kearah mereka semula, terpampang di dada salah seorang pemuda India itu loket salib yang membuktikan bahawa dia bukan beragama Islam.  Saya tidak dapat memastikan identiti ke dua dua yang lain.  Mungkin mereka seagama, mungkin tidak.  Namun yang mengharukan hati saya ialah mereka tidak menjadikan agama sebagai jurang atau alasan untuk tidak membantu yang memerlukan.  Menghulurkan bantuan tanpa mengerdip mata, atau berfikir dua kali. Sedangkan hanya kerana tidak senang dengan perangai mereka saya menjadikan perkauman sebagai tiket untuk menyelar mereka sedangkan agama saya tidak mengajar saya untuk membeza-beza.
            
  ‘ALLAH’ menguji saya, ‘ALLAH’ memberi peringatan kepada saya, ‘ALLAH’ tunjukkan jalan pada saya… Saya pulang dengan iltizam baru.. untuk jadi yang lebih baik, untuk mengangkat darjat saya ketahap yang lebih sempurna…terima kasih ‘YA ALLAH’!


2 comments:

  1. Alhamdulillah...semuga di jadikan pengalaman untuk masa yg akan dtg....bila org menghulurkan tabung atau meminta derma segera la memberi seikhlas x kira jumlah tanpa banyak persoalan...kerna org yg d utus untuk memungut derma memudahkan urusan kita untuk memberi...SubhanALLAH...

    ReplyDelete
  2. Bukan rm5 rm10 yang menjadi ukuran. Yang penting adalah keikhlasan. Even rm1 pun kalau ikhlas nilainya lebih dr rm10. Dalam hati hanya Allah yang tahu.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...